Waqaf An-Nur merupakan sebuah syarikat berhad menurut jaminan tanpa syer yang diinisiatifkan penubuhannya oleh Johor Corporation (JCorp). Penubuhannya bertujuan bagi menguruskan aset dan saham syarikat dalam Kumpulan JCorp yang diwakafkan.
Waqaf An-Nur berperanan sebagai Mauquf ‘Alaihi kepada saham dan lain-lain bentuk sekuriti syarikat perniagaan tersebut. Pada asalnya Waqaf An-Nur beroperasi secara khusus dengan nama Pengurusan Klinik Waqaf An-Nur Berhad bermula 25 Oktober 2000.
Ketika itu ia ditubuhkan hanya untuk menguruskan klinik waqaf dan pusat dialisis di bawah JCorp dengan pelaksanaan operasi oleh KPJ Healthcare Berhad. Seterusnya, nama syarikat ditukar kepada Kumpulan Waqaf An-Nur Berhad pada 19 Julai 2005 dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad pada 21 Mei 2009.
Pertukaran nama mempunyai signifikasi yang jelas terhadap peranan lebih luas berkaitan skop yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat ini.
Waqaf An-Nur yang beroperasi berlandaskan maqasid syariah kini lebih inklusif dengan membuka peluang kepada orang ramai atau institusi untuk berwakaf melalui program yang ditawarkan.
Antara produk-produk wakaf yang diperkenalkan adalah Hibah Lil Waqaf, Pewakafan Keahlian dan PMB An-Nur Waqf Income Fund.