Islamic Information Centre (IIC) Masjid Sultan Iskandar telah diwujudkan bagi menumpukan usaha meningkatkan kefahaman bukan Islam terhadap Islam dan institusi Masjid. IIC yang terletak di tingkat bawah Masjid Sultan Iskandar merupakan sebuah galeri pameran yang berkeluasan 489 meter persegi. IIC mempamerkan bahan-bahan seperti Rukun Islam, Rukun Iman, dan Ihsan, intipati ajaran Islam selain fakta-fakta sejarah al-Quran, Mekah, Madinah, dan Baitul Maqdis. Turut dipaparkan ialah fakta mengenai solat, haji dan umrah, sains dan al-Quran serta susur galur keturunan para Nabi dan Rasul.

IIC bukan sahaja bertindak sebagai tempat lawatan, malahan turut disertai dengan aktiviti interaktif. Di mana para pengunjung boleh mempelajari tatacara solat, merasai memakai ihram salbil bertalbiah dan sebagainya.

Antara bahan pameran yang menjadi tarikan utama para pengunjung adalah artifak dan replika al-Quran dari zaman Rasullullah s.a.w. hingga ke al-Quran masa kini, seperti replika al-Quran mushaf al-Imam atau lebih dikenali sebagai Mushaf Sayyidina Uthman yang merupakan al-Quran pertama di dunia yang telah berusia lebih kurang 1400 tahun. Terdapat juga pameran 3D Animation Hologram yang memaparkan pembinaan Kaabah dari zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga ke Kaabah masa kini.

Sebuah bilik teater juga disediakan dengan dilengkapi skrin dan system audio 5.1 Dolby Atmos bagi memberikan kepuasan maksimum dan pengalaman yang berbeza bagi pengunjung yang berkunjung ke masjid. Bilik ini juga merupakan Galeri Al-Quran dan Sains yang menyatukan unsur rileks, moden, dan Timur Tengah.